sumber: Amar Sufi
Saturday, November 06, 2010
Hari Kehancuran
sumber: Amar Sufi
Monday, November 01, 2010
Balasan...Melewatkan Waktu Solat
Saturday, October 02, 2010
Adab Makan Bersama
http://albakriah.wordpress.com/
Sunday, August 22, 2010
Mengorek Telinga/Hidung Tidak Membatalkan Puasa
Terdapatnya kepelbagaian pendapat dalam hal memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Antara yang berpendapat memasukkan sesuatu didalam rongga tidak membatalkan puasa adalah Syaikh Attiyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), Dr. Yusuf al-Qardhawi (Ketua Majlis Fatwa Eropah), Syaikh Mohammad Salih Al-Munajjid, Dr. Muzammil Siddiqi (Ketua Majlis Fiqh Amerika Utara) dan ramai lagi.
Dalam membahaskan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa,Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata:
Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.
Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. [Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108]
Sememangnya tiada dalil jelas dari al-Quran mahupun as-Sunnah yang melarang daripada mengorek hidung ataupun telinga. Bagi yang berpendapat ianya membatalkan mereka bersandar kepada dalil:
Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa. [Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…).]
antara hadith lain
...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abud Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)
Daripada sabda Rasulullah s.a.w “…menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.” Difahami sebagai dilarang menyedut air ke dalam hidung ketika sedang berpuasa. Jika dimasukkan air maka perbuatan tersebut membatalkan puasa. Pemahaman ini kemudian diluaskan kepada semua rongga tubuh berdasarkan qiyas (analogi).
Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.” [Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117. Dinukil dari Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Jahabersa]
PERKARA YANG JELAS MEMBATALKAN PUASA
Perkara yang sememangnya jelas membatalkan puasa adalah sepeti dalam firman Allah:
Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).[al-Baqarah 2:187]
Dan kalau dilihat jelas bahawa mengorek telinga atau memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan tidak termasuk dalam perkara-perkara yang ditegah ketika berpuasa. Adapun persetubuhan sekalipun bukanlah perbuatan makan atau minum tetapi larangannya disebut secara jelas di dalam ayat di atas. Juga di dalam sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku. [Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 1897 dan dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami.]
Hadis di atas juga menjadi dalil mengapa merokok, penyalahgunaan dadah dan segala yang sewaktu dengannya yang secara psikologi memberikan kepuasan atau kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga bagi nafsu, membatalkan puasa. Sekalipun ianya tidak mengenyangkan, menghilangkan dahaga atau perbuatan bersetubuh.
Kesimpulan Pandangan 1
Sebagai kesimpulan mengenai isu mengorek telinga ketika berpuasa saya ingin menukilkan fatwa Syaikh Attiyah Saqr:
Puasa tidak terbatal dengan meletakkan jari ke dalam telinga atau kerana membersihkannya dengan cotton pad atau dengan larutan. Memandangkan tiada yang dapat meresap melalui gegendang telinga dan sampai kepada kepala, yang mana ianya juga bukan organ menerima makanan yang menyuburkan tubuh badan. [rujuk: http://www.islamonline.net ]
Di atas hujah-hujah yang sama ulama’-ulama’ mutakhir menyatakan perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan (sekiranya ia tidak sampai ke perut) tidak membatalkan puasa.
Persoalan 2: Berendam Dalam Kolam Sewaktu Berpuasa
Saya percaya apa yang dimaksudkan frasa di atas adalah membasahkan diri atau mandi terutamanya berulang kali kerana tidak tahan panas atau mengelakkan kelesuan ketika berpuasa. Perbuatan membasahkan diri kerana tidak tahan panas atau kerana kelesuan adalah dibolehkan berdasarkan sebuah hadis, Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata:
Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan. [Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2365 (Kitab puasa, Bab orang berpuasa yang disiram ke atasnya air…).]
Berkata al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:
Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun. [Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, jld. 6, ms. 395.]
Dalam membahaskan bab mandi bagi orang yang berpuasa di dalam Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan bahawa Ibn al-Manayyar berkata:
Imam Bukhari bermaksud membantah mereka yang memakruhkan orang yang berpuasa untuk mandi. Kerana apabila pendapat itu berdasarkan kekhuatiran air akan masuk ke tenggorok, maka tertolak dengan keterangan yang membolehkan berkumur-kumur dan menggosok gigi serta mencicipi makanan. Apabila tidak disukai dengan alasan kemewahan, maka sesugguhnya kaum salaf menyukai orang yang berpuasa untuk tampil terawat, indah, memakai celak atau yang sepertinya. Atas dasar itulah ia (Imam al-Bukhari-pen) menukil atsar-atsar tersebut pada bab ini (babmandi bagi orang yang berpuasa-pen). [Fath al-Bari, Bab Mandi orang Yang Berpuasa, ms. 171]
BERENDAM DI DALAM BATH TUB, KOLAM, TAKUNGAN AIR?
Perbuatan merendamkan diri ketika berpuasa kerana kepanasan bukanlah perbuatan pelik tetapi pernah dilakukan oleh sahabat Nabi sendiri. Anas bin Malik berkata:
Sesungguhnya aku memiliki penampungan air yang aku masuk ke dalamnya dan aku sedang berpuasa.[ Fath al-Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa, ms. 167]
Ibn Hajar al-Asqalani dalam menjelaskan mengenai atsar itu berkata:
Seakan-akan penampungan tersebut dipenuhi air, sehingga apabila udara panas, maka dia masuk ke dalamnya untuk mendinginkan badan. [Fath al-Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa, ms. 172]
Perkara Yang Disangka Membatalkan Puasa, Namun Hakikatnya Tidaklah Begitu
Masih dalam keadaan junub ketika masuknya subuh:
Dari ‘aisyah & Ummu Salamah:
“Sesungguhnya Nabi memasuki waktu subuh dalam berjunub kerana jima’ dengan isterinya, kemudian Baginda mandi dan berpuasa. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1825, Muslim, no. 1109)
Bersiwak/gosok gigi:
Nabi s.a.w. bersabda:
“Sekiranya tidak memberatkan ummatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali ingin bersolat.” (Hadis Riwayat Bukhari, 887) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “... Setiap kali hendak berwudhu’” (Hadis Riwayat Bukhari, 2/682)
Hadis ini bersifat umum. Termasuklah ketika berpuasa. Oleh itu, diperbolehkan bersiwak/memberus gigi bagi sesiapa yang ingin solat atau berwudhu’ samaada berpuasa atau tidak. Pendapat inilah yang dipilih oleh imam Bukhari di dalam sahihnya (2/682, dan Fathul Bari, 4/158) serta Ibnu Khuzaimah di dalam Shahihnya (3/247), al-Baghawi di dalam Syarh Sunnah (3/298), dan jumhur ahli ilmu yang lain.
Memasukkan air ke dalam hidung & Berkumur-kumur
...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)
Ini membawa maksud bahawa memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa adalah dibolehkan - hanya cuma, janganlah berlebih-lebihan iaitu cukup sekadar membersihkan kotoran.
Bermesra Dan mencium Isteri:
Dari ‘Aisyah:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah mencium isterinya dalam keadaan berpuasa, dan bermesra dengan isterinya dalam keadaan berpuasa, akan tetapi Baginda adalah orang yang paling mampu menahan diri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1927, Muslim, no. 1106)
Ada yang berpendapat, perbuatan ini dimakruhkan bagi pemuda berdasarkan hadis ini:
Dari abdullah bin ‘Amr:
“Kami pernah berada di sisi Nabi s.a.w., datanglah seorang pemuda, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Bolehkah aku mencium dalam keadaan berpuasa? Nabi menjawab: Tidak. Kemudian, datanglah seorang tua, lalu berkata: Bolehkah aku mencium dalam keadaan aku berpuasa? Nabi menjawab: Ya. Berkata (Abdullah): Kami melihat sesama sendiri (kehairanan), Maka Nabi bersabda: Sesungguhnya orang tua itu lebih mampu menahan dirinya.” (Lihat silsilah as-shahihah: 1606)
Merasa Makanan:
Dari Ibnu Abbas:
“Tidak mengapa merasa cuka, atau apa-apa makanan selagimana tidak sampai ke krongkongan dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari dengan tanpa sanad, dan Ibnu Hajar menyambungnya di dalam Fathul Bari, 3/154)
Mengeluarkan darah atau suntikan yang tidak mengandungi makanan:
Hal ini tidak termasuk dalam perkara yang tidak membatalkan puasa. Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama al-mu’ashirin, seperti yang telah ditetapkan Majma’ Fiqhul Islami. (Rujuk: Majallah Majma’, 2/464)
Berbekam:
Daripada Ibnu abbas:
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah berbekam dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1939)
Memakai Celak, Menitiskan Ubat Mata ke Bahagian Mata:
1 - Imam Bukhari mengatakan: “Anas bin Malik, Hasan al-Basri, dan Ibrahim an-Nakha’i memandang tidak mengapa bercelak bagi orang yang berpuasa” (Fathul Bari, 4/153)
2 - Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama al-mu’ashirin (Seperti Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, al-Uthaimeen, Dr. Wahbah Zuhaily, dan lain-lain...), bahawa menitiskan air atau ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa (Rujuk: Majallah Majma’, 2/378, 381, 385, 392) Juga ada perbahasannya di website berikut: http://www.saaid.net
Mencurahkan Air Ke Atas Kepala/Mandi:
Dari Abu Bakr, katanya, telah berkata orang yang meriwayatkan kepada aku:
“Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. mencucurkan ke atas kepalanya air dalam keadaan Baginda bepuasa, kerana dahaga atau kepanasan. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2365, Disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Sunan Abu Daud)
Manakala di dalam Shahih beliau mendatangkan satu tajuk “Bab Mandinya Orang Yang Bepuasa”, dan beliau mendatangkan hadis Ibnu Umar:
“Ibnu Umar telah membasahi bajunya (kerana kehausan) kemudia beliau memakainya dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, lihat Fathul Bari: 3/154)
Tuesday, August 17, 2010
Rahsia puasa kita diterima
Sunday, August 15, 2010
PUASA RAMADHAN: HUKUM DAN BEBERAPA PERMASALAHAN KANAK-KANAK
Maksudnya: “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun…” (Hadits riwayat Abu Daud)
Maksudnya: “Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia berakal.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2008/bil294.pdf
Saturday, July 24, 2010
Peristiwa penting pada bulan Sya’aban
Tuesday, July 13, 2010
Isra’ Mikraj menguji keimanan menambah ketaqwaan
Tuesday, March 09, 2010
Peningkatan kualiti umat cabaran dakwah semasa
Oleh Muhamad Razak Idris
Penguasaan ilmu mampu perbetulkan persepsi negatif masyarakat dunia terhadap IslamKEHANGATAN semangat sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW tahun 1431H masih lagi kita rasai. Antara nilai utama yang perlu menjadi sumber pendorong menerusi sambutan Maulidur Rasul ialah untuk kita mengenang peranan utama baginda sepanjang pengutusannya iaitu bagi menyebarkan risalah Islam kepada seluruh alam.
Peranan ini juga kita namakan sebagai tugas berdakwah iaitu menyeru dan mengajak manusia antaranya untuk mengesakan atau mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan seluruh alam, memberi peringatan mengenai kebenaran hari pembalasan atau akhirat dan membina keupayaan manusia di dalam menyumbang kepada kemajuan hidup di dunia ini.
Dalam konteks pendakwahan Nabi Muhammad SAW, wujud beberapa petunjuk di dalam al-Quran berhubung pendekatan dan cara menyempurnakan tugas dakwah ini. Hal ini boleh kita telusuri, antaranya menerusi firman Allah Taala di dalam surah al-Jumuah, ayat 2-3:
"Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajar mereka kitab dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."
Usaha menjayakan usaha mendidik umat daripada kejahilan kepada pencerahan ilmu pengetahuan adalah agenda besar kenabian yang kini diwarisi seluruh umat Islam. Menjayakan usaha ini menuntut kita umat Islam untuk terbabit di dalam menjaya dan meningkatkan dakwah Islamiah secara berterusan.
Pada masa kini, dakwah Islamiah sedang memasuki era baru peralihan zaman. Umat Islam sedang berada di dalam era yang dikenali sebagai 'masyarakat terbuka'. Arus globalisasi dan revolusi dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat menjadikan masyarakat terbuka sebagai satu realiti.
Selaku umat Islam yang berpandangan positif, era peralihan zaman ini harus dijadikan peluang untuk kita meningkatkan usaha penyampaian ajaran agama Islam kepada seluruh masyarakat. Kita perlu meningkatkan seluruh saluran dan ruang penghebahan untuk memastikan ajaran agama Islam tersebar seterusnya membangunkan masyarakat berasaskan panduan dan pedoman cahaya al-Quran dan al-Hikmah.
>> Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan usaha di dalam bidang dialog peradaban. Realiti masyarakat terbuka memberi peluang luas untuk kita berkecimpung dan berinteraksi dengan masyarakat dunia yang pelbagai. Usaha dakwah menerusi dialog memberi ruang untuk kita memahami realiti kehidupan yang pelbagai dan berkongsi jalan kebenaran dengan seluruh masyarakat dunia.
Usaha dialog yang aktif juga akan menyumbang di dalam mengikis gejala 'Islamophobia' � rasa gerun dan takut kepada agama Islam dan penganutnya oleh sebahagian masyarakat dunia pada hari ini.
>> Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan penguasaan di dalam bidang teknologi dakwah. Ini bagi membolehkan citra dakwah terjelma secara meluas di dalam pelbagai wajah baru yang dinamik. Penguasaan teknologi dakwah meliputi keperluan untuk usaha penyebaran Islam terhebah menerusi saluran komunikasi baru seperti informasi maya, seni elektronik dan imej bergerak.
Hal ini menuntut umat Islam dan pergerakan dakwah membudayakan amalan kreativiti dan inovasi di dalam usaha penyampaian ajaran Islam.
>> Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan ajaran Islam di dalam pelbagai bidang. Hal ini amat penting bagi memastikan persoalan berkaitan dakwah dan ajaran Islam di abad ke-21 dapat dikupas dengan sempurna dan berkualiti sebagai panduan masyarakat mendepani cabaran kehidupan hari ini yang serba mencabar.
Ini menuntut umat Islam untuk meningkatkan usaha dalam bidang pengkajian ilmu secara ilmiah bagi membolehkan ajaran Islam dari sudut perundangan, ekonomi, politik dan kebudayaan sentiasa segar dari sudut falsafah dan amalannya sejajar dengan perkembangan zaman.
Usaha pemerkasaan tiga bidang dakwah ini adalah antara cabaran zaman umat Islam dan pergerakan dakwah semasa. Menangani cabaran ini menuntut kita umat Islam meningkatkan kualiti diri terutama di dalam bidang ilmu pengetahuan, keperibadian dan kepakaran.
Peningkatan kualiti diri umat Islam adalah asas. Ia akan dapat menyumbang di dalam membetulkan persepsi negatif sebahagian pandangan masyarakat dunia yang memandang ajaran agama Islam sebagai satu sumber kemunduran. Peningkatan ini secara langsung membantu mengubah persepsi negatif ini seterusnya membuktikan Islam bukan penghalang kemajuan di dalam segala bidang kehidupan.
Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
Sunday, January 03, 2010
16 Tanda Kematian Mulia
Tulisan : Mohd Zawawi Yusoh
KEMATIAN Micheal Jackson (MJ) mengejutkan dunia. Dunia menangis kerana kehilangan seorang insan seni yang hebat.
Begitulah resam dunia akan mengenang selepas ketiadaan seseorang. Lagi banyak jasa yang ditinggalkan lagi ramai orang merasakan kehilangan kita.
Kali ini bukan kita nak bincangkan jasa MJ tetapi kita perkatakan mengenai kematian mengejut.
Itu yang patut kita tanya diri kita, bagaimana ketika kita mengakhiri kehidupan kita nanti dalam ‘husnul khatimah’ ataupun ’su’ul khatimah.’
Katanya, kematian MJ masih lagi menjadi teka-teki. Mati ketika yang tiada bekalan dan persediaan adalah amat menakutkan.
Pernahkah kita meminta supaya kita dimatikan dengan penutup yang baik ‘husnul khatimah’?
Sebenarnya bukan kena minta sahaja tetapi kena buru dan kena cari. Kali ini kita bincangkan tanda-tanda mati husnul khatimah. Antara tanda mati husnul khatimah ialah:
1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)
2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)
3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)
4. Mati syahid di dalam medan perang.
5. Mati dalam peperangan fisabilillah.
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?
Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.
Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.”
Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)
6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)
7. Mati kerana tenggelam.
8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.
Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)
9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.
10. Mati terbakar.
11. Mati kerana penyakit busung perut.
Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).
Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)
13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)
14. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”
15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”
16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.
Dipetik dari: http://albakriah.wordpress.com

