Saturday, October 02, 2010

Adab Makan Bersama


Bila makan bersama-sama orang ramai, haruslah diperhatikan perkara-perkara yang berikut; iaitu sebanyak tujuh perkara:
1.       Jangan mulakan makan dulu bila ada hadir bersamanya orang yang mesti didahulukan, seperti orang tua atau orang  yang lebih utama daripadanya. Tetapi jika mengambil makanan itu mengikut giliran dan sudah sampai pula gilirannya untuk mengambil, maka ketika itu janganlah ia melambat-lambatkan sehingga orang lain terpaksa menunggu lama, padahal mereka itu telah berkumpul untuk makan bersama-sama.
2.       Janganlah sampai semua orang berdiam diri di waktu makan, tetapi sebaik-baiknya hendaklah berbual-bual tentang perkara-perkara yang baik.
3.       Janganlah makan dengan tamak, bahkan hendaklah mengingat kawan-kawan yang makan bersama-sama dalam satu hidang. Janganlah makan lebih dari kadar yang ditetapkan baginya kerana makan lebih dar kadar itu, hukumnya haram jika tidak mendapat keredhaan kawan yang memakan bersama-sama dalam satu hidangan. Sebaik-baiknya ia melebihkan makanan itu pada kawan-kawannya. Jangan pula memakan dua butir kurma sekaligus, melainkan jika semua orang yang makan sedikit, hendaklah ia menggalakkannya supaya menambah lagi dan menimbulkan seleranya untuk makan. Jika kawan itu menolak, bolehlah dipujuk hingga tiga kali, tidak lebih dari itu, kerana sesudah itu, tentulah ia akan merasa bosan dan menganggap itu sebagai memaksanya.
Adapun bersumpah untuk memakan lagi adalah di larang. Berkata al-hasan bin Ali r.a: Makanan itu lebih ringan daripada seorang yang bersumpah untuk memjuk kawannya supaya makan lagi (Maksudnya jika tak dihabiskan pun tak mengapa, tetapi jangan bersumpah untuk menyuruh orang lain memakannya — pent).
4.       Janganlah terlalu menggesa kawan untuk memakan, sehingga ketara seolah-olah ia amat memerlukan makanan itu. Jangan pula memerhatikan kelakuannya ketika sedang makan: banyakkah, sedikitkah, bahkan hendaklah ia bersikap seperti seorang yang menanggung makan kawannya. Jangan pula meninggalkan lebihan makanan di tempat makannya, sedangkan selera untuk memakannya masih ada, kerana takut orang mengatakan gelojoh, sebab yang demikian itu adalah semacam kepura-puraan. Tetapi hendaklah ia makan seperti biasa, yakni seperti ia makan seorang diri di rumah. Sebaik-baiknya melatihkan diri bersopan-santun ketika makan bersendirian di rumah, supaya nanti tidak teragak-agak lagi untuk bersikap sama bila makan dengan orang ramai. Ya kalau boleh sewaktu makan beramai-ramai itu, dikurangi sedikit dari kadar makananan biasa untuk melebihkan kawang-kawannya, apatah lagi kalau, ia mengetahui bahwa mereka itu amat memerlukan makanan itu, maka sikap yang demikian adalah paling utama sekali. Begitu juga ia makan lebih dengan niat menggalakkan kawan-kawannya memakan lebih dan menaikkan semangat mereka untuk menambah lagi, maka itu adalah lebih baik pula.
5.       Tidak mengapa membasuh tangan di dalam bekas makanan itu (jika bekas itu telah bersih dari makanan — pent)
Berkata Anas: Andaikata saudaramu mengundangmu untuk makan, hendaklah engakau menerima kehormatan itu dan janganlah menolaknya. Diriwayatkan, pernah Khalifah Harun ar-Rasyid mengundang makan Abu Mu’awiyah yang buta matanya. Apabila selesai makan, Khalifah pun membasuh tangan Abu Mu’awiyah menjawab: Tidak! Khalifah berkata lagi: Yang membasuh tanganmu ialah Amirul Mu’minin (yakni dirinya sendiri). Berkata Abu Mua’awiyah: Wahai Amirul Mu’minin! Sebenarnya tuan hamba telah memuliakan ilmu pengetahuan dan meletakkanya di tempat yang tinggi, maka Allah akan meninggikan kedudukan tuan hamba dan memuliakan tuan hamba, sebagaimana tuan hamba memuliakan ilmu dan ahlinya.
Oleh itu sayugialah tuan rumah sendiri yang patut menuangkan air untuk membasuh tangan tetamu-tetamunya. Demikianlah yang dilakukan oleh Imam-imam besar Malik dan Syafi’I radhiallahuanhuma pada hari tetamu itu mula tinggal bersamanya. Mereka berkata: Janganlah engkau terperanjat pada apa yang engkau lihat daripadaku ini, sebab memberi khidmat kepada tetamu adalah suatu kewajiban.
6.       Janganlah tuan rumah memerhatikan kelakuan tetamu-tetamunya ketika sedang makan, jangan mengawasinya, kelak dikhuatirinya mereka akan merasa malu, Sebaiknya bersikap pura-pura tidak nampak dan menumpukan segala perhatian pada dirinya sendiri lebih-lebih lagi jika mereka sedang sedap makan. Janganlah pula berhenti dulu tetapi hendaklah menyuap terus sedikit demi sedikit, sehingga tetamu-tetamu itu merasa puas dengan makanan yang dihidangkan. Andaikata kerana sesuatu sebab, ia tidak dapat meneruskan makan-makanan itu, maka hendaklah ia meminta izin berhenti terlebih dulu, supaya mereka tidak merasa malu dengan kelakuan mereka itu.
7.       Jangan melakukan sesuatu yang boleh menjijikkan orang lain, ataupun mencelupkan tangan ke dalam bekas makanan itu. Jangan terlampau menundukkan kepala ke bekas makanan, tatkala mahu menyuap makanan itu. Jika mahu mengeluarkan sesuatu dari mulut, hendaklah memalingkan muka dari bekas makanan itu, kemudian diambil dengan tangan kiri. Jangan dicelupkan suapan yang berlemak ke dalam cuka (atau sebagainya) kerana cara begitu mungkin tidak diingini oleh orang lain. Demikian pula dengan lebihan makanan yang telah digigit, jangan dicelupkan ke dalam lauk-pauk atau cuka. Jangan pula menyebut-nyebut hal-hal yang boleh menjijikan atau memuakkan ketika sedang makan.

Petikan kitab Bimbingan Mukmin


http://albakriah.wordpress.com/

No comments:

KALENDAR

BASAHI LIDAHMU DENGAN MENYEBUT NAMA- NAMA ALLAH