Friday, July 09, 2010

Memelihara mata

Assalamualaikum kepada pembaca blogku yang budiman. Alhamdulillah. bertemu kita di ruangan tazkirah yang menjadi nadi untuk kita sama- sama berkongsi ilmu pengetahuan yang menjadi kewajipan keatas setiap muslim. Tazkirah kali ini ana memilih tajuk " memelihara mata". Tajuk ini amat bersesuaian untuk perkongsian kita bersama kerana mata merupakan salah satu anggota yang sukar untuk dijaga termasuklah ana yang lemah ini sukar untuk mengawal tindak tanduk mata. Untuk mendapatkan informasi tentang memelihara mata, ana membelek sebuah kitab yang berjudul "Penawar Bagi Hati" karangan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib Al Indonesia Al Mandili sebagai rujukan.

Mata merupakan anugerah Allah untuk kita. Ianya mempunyai banyak faedah samaada faedah untuk dunia ataupun akhirat. Faedah yang dinisbahkan kepada akhirat adalah dengan mata kita dapat memandang ke langit, matahari, bulan, bintang dan lain- lain agar kita dapat menjadikannya sebagai dalil adanya Allah SWT serta kekuasaaNya. Selain itu kita dapat melihat al Quran dan jalan ke masjid. Faedah yang dinisbahkan kepada dunia pula ialah contohnya melihat hasil usaha kita dan sebagainya.

Mensyukuri nikmat mata ialah dengan kita memeliharanya daripada melihat sesuatu yang haram contohnya melihat perempuan yang bukan mahram ataupun melihat aurat orang lain walaupun sama sejenis. 

Allah berfirman di dalam surah An Nur ayat 30 mafhumnya :-


Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.


Sabda Rasulullah SAW:

إن النظر إلى محاسن المرأة سهم مسموم من سهام إبليس فمن تركها أذاقه الله تعالى طعم عبادة تسره


Sesungguhnya memandang ke tempat elok (mengghairahkan) daripada tubuh perempuan itu umpama anak panah beracun daripada segala anak panah iblis. Maka sesiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, nescaya Allah SWT mengurniakannya kesedapan amal ibadat yang menggembirakan (yang menyukakan hati).


Tiada satu pun samaada di dunia ataupun akhirat satu nikmat yang paling besar melainkan nikmat melihat tuhan.Oleh itu, amat wajar apa yang kita nanti-nantikan bagi memperoleh nikmat yang paling besar sekali dengan memelihara dan mengawasi bersungguh- sungguh mata kita daripada pandangan yang merosakkan yang menjerumus kita ke kancah dosa. 

Bait sebuah lagu nasyid tentang pandangan mata:- 

Pandangan mata selalu menipu,
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itu yang hakiki,
Kalau hati itu bersih.




Sekian tazkirah untuk kali ini. Semoga kita semua mendapat manfaat daripada perkongsian kita hari ini. Jumpa lagi di lain masa. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 

No comments:

KALENDAR

BASAHI LIDAHMU DENGAN MENYEBUT NAMA- NAMA ALLAH